BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, 13 May 2011

Mungkinkah ini juga babak kehidupan kita?


Malam itu deria penglihatan Pian tidak berkelip-kelip mengamati jarum jam saat demi saat,permukaan sofa empuk itu agak suam-suam kuku disebabkan Pian yang membatu di situ,jam tepat pukul 12 malam.Kelihatan Pian bergegas meluru ke 'bilik kecil'seraya menyarungkan terompah kayunya.Lantas pili paip dikuak,kedinginan malam itu disignifikasikan oleh suhu air yang mencurah-curah.

Malam yang sunyi itu kedengaran kata-kata seorang ustaz seakan-akan membisik di daun telinganya,

"Allah menyanjung dan memuji hamba-hambanya yang bangun bersembahyang
pada waktu malam dengan firmaNya (Surah Adz Dzariyat: 15-16).
“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman
(Syurga) dan dimata-mata air. Sambil mengambil apa yang diberikan
kepada mereka oleh tuhan mereka. Sesungguhnyaa mereka sebelum itu
didunia adalah orang-orang yang berbuat baik.”
Mereka sedikit sekali tidur diwaktu malam. Dan diakhir-akhir malam
mereka memohon ampun (kepada Allah).
Allah telahpun memerintahkan junjungan besar kita Nabi Muhammad agar
mengerjakannya. Kiranya beliau akan mendapat tempat yang tinggi
dihari kiamat kelak. Dalam surah Al-Isra’ ayat : 79, Allah berfirman:
“Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajjudlah kamu
sebagai suatu ibadah tambahan bagi mu, mudah-mudahan Tuhan mengangkat
kamu ke tempat yang terpuji.”

Rukun wudhu' yang enam telah dilangsaikan Pian .Justeru itu,Pian semakin berkobar-kobar untuk mengerjakan ibadat pada malam itu.Ibu Pian melihat gerak-geri anaknya itu.Dalam masa yang sama mengomel Ummi Tijah,"Kalau...kan bagus"(1).

Apa yang dimaksudkan oleh Ummi Tijah?
Mari kita baca babak kehidupan Pian seterusnya...

"Alif laam mim...".Pian dengan tarranum dan tartilnya meneruskan bacaan.Helaian demi helaian diselak,malam itu dah habis satu juzuk rupanya."Alhamdulillah,habis sudah",kumat-kamit mulut Pian sambil menghela nafas lega.
Jam di dinding pukul 2.30 pagi,kelopak matanya semakin kuyu tapi digagahi lagi dengan solat sunat hajat 12 rakaat,solat sunat taubat,solat sunat istikharah...Kalau boleh nak berwirid sepanjang malam.Niat hati hendak menutup dengan solat sunat witir,tapi akhirnya Pian tergolek juga lena di atas sejadah itu.

Pagi itu Pian terbangun lewat.Solat subuh juga dibuat hampir-hampir habis waktunya.Pian pergi kuliah dengan tenaga yang ketandusan.

Pulang Pian dengan kepenatan,layu juga di sofa empuk di ruang tamu.Malam itu tidak seperti malam sebelumnya.Jam 9 malam dia sudah tersadai di birai katilnya.

Datang pula Ummi Tijah menjengah ke bilik bujang anak lelakinya itu,
di bibirnya dengan kalimah yang sama,"kalau...kan bagus"(2).

Sebenarnya,apakah yang ingin saya perihalkan kepada sahabat-sahabat di sini ialah 'adapun kualiti adalah lebih utama dari kuantiti' kerana istiqamah itu adalah sebaik-baik amalan walaupun sedikit.
Dalam kisah Si Pian tadi sebaiknya dia melakukan amalan-amalan sunat secara berterusan setiap hari,contohnya seperti qiamullail walau hanya dengan membaca 2 lembar tafsir atau cukup dengan bangun mengerjakan solat sunat 2 rakaat.
Dengan syarat biar berterusan walaupun sedikit.
Kerna Allah lebih menyukai amalan yang berterusan(istiqamah) walaupun sedikit.

Begitu juga dengan merujuk kepada hadis Nabi Muhammad S.A.W.; Seorang sahabat Rasulullah, Sufyan bin Abdullah (RA) bertanya kepada beliau SAW: "Ya Rasulullah, ajarkanlah padaku sesuatu tentang Islam yang aku bisa mendapatkan jawapannya hanya darimu." Beliau SAW menjawab: "Katakanlah 'Amantubillah' (Aku percaya sepenuhnya kepada Allah), dan beristiqamahlah (berusaha tetap berada dijalan-Nya)."
( HR Muslim )

Dengan meneliti babak-babak kehidupan Pian tadi bermuhasabahlah pada diri anda dan untuk saya juga berfikir,bertafakur seterusnya kita berusaha membaiki diri kita insyaAllah.

Sebelum itu mari kita lihat apa sebenarnya yang diucapkan oleh Ummi Tijah,saling tak tumpah seperti apa yang mungkin dingomelkan oleh ibu-ibu kita juga...
Ummi Tijah:Sejuk perut aku mengandungkan Si Pian ni,kalau hari-hari beginikan bagus.(1)

lagi,
untuk babak kedua,
Ummi Tijah:Buek habih boreh je la budak ni,siang-siang terlentuk liuk begini,mana anak aku yang aku lihat 15 jam yang lepas,kalau hari-hari macam semalam kan bagus.(2)

Penghayatan:Pilihlah dan pastikanlah setiap saat nafas kita sentiasa dalam kata-kata ibu yang baik seterusnya doa untuk kita,
dan
sentiasalah konsisten(istiqamah) dengan amalan-amalan kita kerana Allah,insyaAllah.

Sekian wassalam wbt.

Friday, 11 March 2011

Subhanallah...


Assalamualaikum saudara-saudaraku di Malaysia,Jepun,Mesir,UK dan di mana jua selagi kita masih dalam nafas kalimah laailahaillallah.
Doaku ini moga kalian sentiasa teruja dengan keagungan Sang Pencipta dan melebarkan sayap menjauhi godaan 'Sang Durjana'yang dilaknat
sejak azali lagi.
Baru beberapa hari sampai di kampung baru,saya dah alami pengalaman baru di Gunma.Tanggal 11 Mac dari tengahari berlaku gerak gempa,
kepala saya yang sememangnya pening disebabkan demam bertambah pusing.Rumah berlenggok-lenggok ke kiri kanan,kelihatan dari kamar mandi
bersepah sabun 'popinjay'dan ubat gigi mukmin serta bayak lagi barang jatuh ke lantai.Maklumlah rumah tingkat dua,takut juga.Alhamdulillah
ada emak di sisiku.Insan yang datang jauh-jauh datang menemani saya 3 minggu di sini.Kebetulan emak saya dapat lalui pengalaman 'benda
bergoyang'begini agak mengerikan.Alhamdulillah ada senior yang datang menjenguk-jenguk dua beranak di sini=)
Bersyukur sangat dari pelbagai dugaan yang diuji Allah,saya diberi kesempatan untuk belajar sesuatu yang baru.Betul kata ustaz sekolah saya dulu,
yang juga selaku ayah angkat saya,"Allah sentiasa bersama orang-orang yang bersabar,ikhtiarlah untuk dekatkan diri kepadaNya
kerna Dia takkan pernah lupakan hambaNya waktu susah ataupun senang...Keredhaan Allah itu menimbulkan redha sesama hambaNya,"
perinya yang amat sejuk bila saya tenungkan semula.
Namun bila ditimbang-tara semula,banyak rahmat Allah sebalik ujian yang dikurnia.Cuma jauh sekali harapan saya ujian itu menjadi
istidraj,nauzubillahiminzalik.

Istidraj
*Jika dikata:" Istidrajullah al-abda"(Allah menIstidrajkan hambanya) membawa erti/makna setiap kali hambaNya (insan) membuat/ menambah/ membaharui kesalahan yang baru maka setiap kali itu juga Allah akan membuat/ menambah/ membaharui nikmatNya ke atas hambaNya itu dan setiap itu juga Allah membuatkan hambaNya itu lupa untuk memohon ampun atas dosa yang dilakukan terhadapnya dan setiap itu juga Allah akan mengambilnya sedikit demi sedikit(ansur-ansur) dan Allah tidak mengambilnya dengan cara yang mengejut!


*Allah berfirman di dalam ayat 182 Surah Al-A'raf yang bermaksud(sila rujuk untuk kepastian) :"Orang2 yang mendustakan ayat-ayat Kami(Allah), nanti akan Kami { binasakan mereka itu dengan beransur-ansur } sedang mereka tidak tahu."

Dalam masa yang sama,saya nak kongsikan dengan sahabat,sebagai seorang Islam kita wajib hukumnya memelihara kesihatan kita.
Jika dikaitkan dengan kesihatan,ia mencakupi kesihatan luaran dan dalaman.Luaran seperti penjagaan kulit,kuku dan sebagainya.
Begitu juga dalaman seperti hati dan kekuatan spiritual dalaman yang sebenarnya.Bentengkan diri anda dengan amal ibadat yang
kuat insyaAllah akan sentiasa dipelihara Allah hendaknya.

Perkara yang hendak 'dikupas kupilkan' di sini,mungkin ada antara sahabat-sahabat sudah atau sedang mengamalkan ayat Manzil atau ayat Ruqyah.Jika dilazimi
bacaannya amatlah digalakkan.Besar manfaatnya jua,jika dihafalkan ayat Manzil atau ayat Ruqyah,salah satu daripadanya.Kedua-dua
ayat ini adalah himpunan ayat-ayat Quran yang terpilih.InsyaAllah saya akan kupaskan melalui apa yang saya telah pelajari dari
orang yang lebih wara',insyaAllah.

Ayat Manzil
1: Al­Fatihah
2: Surah Al­Baqarah (Surah 2) ayat 1­5.
3: Surah Al­Baqarah (Surah 2) ayat 163.
4: Surah Al­Baqarah (Surah 2) ayat 255­257.
5: Surah Al­Baqarah (Surah 2) ayat 284­286
6: Surah Al­Imran (Surah 3) ayat 18.
7: Surah Al­Imran (Surah 3) ayat 26­27.
8: Surah Al­A'raaf (Surah 7) ayat 54­56.
9: Surah Al­Israa' (Surah 17) ayat 110­111.
10: Surah Surah Al­Muminuun (Surah 23) ayat 115­118.
11: Surah Asy­Syafaat (Surah 37) ayat 1­11.
12: Surah A­Rahman (Surah 55) ayat 33­40.
13: Surah Al­Hasyr (Surah 59) ayat 21­24.
14: Surah Al­Jinn (Surah 72) ayat 1­4.
15: Surah Al­Kafiruun (Surah 109) ayat 1­6.
16: Surah Al­Ikhlas (Surah 112) ayat 1­4.
17: Surah Al­Falaq (Surah 113) ayat 1­5.
18: Surah An­Nas (Surah 114) ayat 1­6.

Antara Fadhilat/Kelebihan Manzil

1. Mengelak atau menyembuhkan penyakit akibat gangguan sihir, jin, syaitan dan seumpamanya.
2. Melindungi pengamal dan keluarganya daripada bahaya syaitan, jin, gangguan makhluk halus, pencuri (melindungi harta benda), binatang buas (melindungi tanaman/ternakan) dan lain-lain.
Semuanya Dengan Izin Allah.Walaupun begitu setiap individu yang mengamalkan Manzil ini kesannya tidak semestinya sama diantara satu sama lain. Semuanya Dengan Izin Allah.



Ayat Ruqyah
1 Al-Fatihah 1 Seluruhnya
2 Al-Baqarah 1 1-5
3 Al-Baqarah 1 102
4 Al-Baqarah 2 163-164
5 Al-Baqarah (Ayatul Kursi) 3 255
6 Al-Baqarah 3 285-286
7 Ali-Imran 3 18-19
8 Al-’Araf 8 54-56
9 Al-’Araf 9 117-122
10 Yunus 11 81-82
11 Toha 16 69
12 Al-Mukminun 18 115-118
13 As-Soffaat 23 1-10
14 Al-Ahqaaf 26 29-32
15 Ar-Rahman 27 33-36
16 Al-Hasyr 28 21-24
17 Al-Jin 29 1-9
18 Al-Ikhlas 30 Seluruhnya
19 Al-Falaq 30 Seluruhnya
20 An-Naas 30 Seluruhnya


Antara Fadhilat/Kelebihan Ruqyah
*Sama dengan ayat Manzil kelebihannya.Ayat Ruqyah digunakan dalam ilmu perubatan Islam.

Mungkin pada zaman sains yang serba canggih ini ada antara kita yang pemikirannya di zon'separa telap'percaya tak percaya'.
Benda seperti ini berlaku dengan izin Allah sebagai ujian dari Allah dan ia sebagai asbab atau medium pemngkin kepada
keberlangsungan ujian Allah tersebut.Dalam surah Yunus ayat 79-81 menerangkan wujudnya perbuatan sihir di zaman Nabi Musa a.s.
wallahua'lam.



Konsep perubatan Islam bersumberkan Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din Darussyifa'
Allah s.w.t. berfirman:
Al-Isra ayat 82 bermaksud:
Dan Kami turunkan daripada al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar
dan rahmat bagi orang yang beriman.


Rasulullah s.a.w. bersabda, "Setiap penyakit ada ubat penawarnya dan apabila suatu ubat itu sesuai dengan jenis penyakitnya, maka penyakit itu akan sembuh dengan izin Allah." - maksud hadis riwayat Muslim.


P/S:Sertakan juga laman web perubatan Islam Darussyifa untuk rujukan http://www.darussyifa.org/modules.php?name=Content&pa=showpage&pid=33
Sempat saya berkunjung di salah satu pusat perubatan Islam Darussyifa di salah satu negeri di Malaysia,Subhanallah sungguh
tenang hati melihat para pengamal perubatan yang ikhlas berusaha mengubati pesakit dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran dan rasa
sejuk mata memandang ada generasi muda yang mendalami ilmu dari ustaz-ustaz yang juga selaku penggerak Darussyifa.Moga Allah terus
merahmati usaha-usaha kalian.Amin ya rabbal alamin.

Friday, 31 December 2010

...Barakah Dikongsi Bersama...


Assalamualaikum sahabat-sahabat,moga sentiasa dipelihara Allah dalam nikmat iman dan taqwa,insyaAllah=)Jutaan kesyukuran dipanjatkan kepada Allah atas keizinan dan rahmatNya majlis ilmu kita, Winter Gathering 2010 yang telah diadakan pada baru-baru ini berjalan lancar dan dipermudahkan segala urusan.Walaupun ada dugaan sepanjang perjalanan ke tempat program,dengan salji yang banyak menyebabkan perjalanan densya(keretapi)tergendala tetapi akhirnya sahabat-sahabat selamat juga sampai ke destinasi untuk menuntut ilmu dan mengikat ukhuwah dengan sahabat-sahabat yang lain.Justeru dengan itu saya suka untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat tentang apa itu ujian yang diperihalkan oleh Allah.
Sesungguhnya,ujian daripada Allah S.W.T ini meliputi seluruh hamba-Nya yang taat mahupun yang derhaka. Malah ujian bagi hamba-hamba-Nya taat adalah lebih hebat berbanding dengan mereka yang engkar. Rasulullah s.a.w pernah di tanya:

Ya Rasulullah, siapakah yang paling keras mendapatkan ujian? Baginda menjawab: Para Nabi dan pengikut-pengikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agama, jika kadar beragamanya kuat maka ujiannya semakin keras. Jika kadar beragamanya lemah maka dia diuji sesuai dengan kadar agamanya. Seorang hamba akan sentiasa diuji sampai dia akan dibiarkan berjalan di muka bumi tanpa membawa dosa kesalahan. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (no: 2322)
Justeru itu segala ujian daripada Allah S.W.T ini haruslah kita tempuhi dengan penuh kesabaran agar ianya dapat mendekatkan kita kepada-Nya dan menerima segala limpah rahmat-Nya. Firman Allah S.W.T.:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: (Innalillahi wa inna ilahirajiun) “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. – al-Baqarah (2) : 157

Semoga apa yang kita telah pelajari melalui kuliah yang diberikan oleh Ustaz Zaharudin Muhammad dan LDK-LDK yang telah dijalankan bersama menjadi asbab kepada kita untuk bermuhasabah diri dan mempertingkatkan amal ibadat kepada Allah.Kongsilah ilmu yang diperoleh dengan sahabat-sahabat yang tidak dapat hadir,mudah-mudahan barakah kebaikan dapat dikongsi bersama,insyaAllah.Semoga Allah memberkati hasil usaha kita untuk menegakkan Islam yang disanjungi untuk para sahabat yang dikasihi.-Dunia dikelek akhirat dijunjung.

Wednesday, 22 December 2010

Persinggahan Itu Rupanya Destinasiku


Lengang malam itu berselang-seli dengan pekikan dua makhluk itu sayup-sayup kedengaran.”Man meh dapur jap,tolong mak ni”,suara lantang wanita 50-an itu.”Kerja pegang periuk belanga ni bukan kerja orang laki mak…tak kuasalah orang nak tolong mak,tak boleh tengok orang senang sikit,ade-ade aje”,sehinggakan tersembul jelas urat-urat di leher anak muda itu menempelak ibunya.Namun hati seorang ibu tetap memaafkan anaknya walau ada rasa ketidakredhaan terhadap anak tunggalnya itu.Begitulah rutin sehari-harinya.

Setelah ‘diumpan’dengan berkali-kali,akhirnya anak ikan termakan mata kail.”Haa ni baru betul,ada habuan baru kerja jalan”,lantas merabut sekeping wang kertas merah itu dari tangan Mak Leha.

Kedengaran bunyi ekzos motosikal itu berdentum kencang seraya menghilang.Mak Leha menghela nafas lega.Moga selamat anak kesayangannya itu sampai ke bangunan besar di hujung kampung itu.

Desiran bayu malam meliuk-liukkan daun nyiur yang berbaris di tepian jalan.”Hai adik manis jalan seorang malam- malam ni tak takut ke…?”sapaan nakal Man kepada anak gadis yang baru pulang dari kerja lewat malam itu.

Hayya alassolah…”,bergema suara serak-serak basah tok bilal melalui corong pembesar suara dari tempat yang disinggahinya itu.”Wak Kassim,ni haa kuih dari mak saya untuk semua orang di masjid ni macam biasa,ambillah cepat ,saya dah nak balik ni…” teriak anak muda itu. Wak Kassim sambil menghulurkan tangan menitipkan bicara,”Kau ni Man alang-alang dah masuk Isyak ni,marilah kita solat jemaah sekali kan bagus”.”Saya datang sini nak singgah untuk bagi kuih ni je kepada orang masjid ni,tak lebih dari itu ye Wak!”Man bersuara keras seraya menghidupkan enjin motosikalnya,lantas berlalu pergi.Wak Kassim menggeleng-gelengkan kepala sambil berdoa agar Allah membuka hati anak muda itu pada suatu ketika nanti.Saban hari Wak Kassim tidak pernah berputus asa dengan doa dan monolog dalamannya yang suci itu.

Bunyi kuat kedengaran dari beberapa batang jalan di kampung itu memecah sepi malam,adakalanya menganggu kekhusyukan para jemaah di masjid.Itulah kerja Man dan ‘kawan-kawan seperjuangannya’ merempit motosikal secara ‘berjemaah’ pada malam hari.Sudah puas anak-anak muda itu dinasihati oleh orang-orang kampung,namun langsung tidak ada perubahan.Rumah suci Allah itu kelihatan lengang lantaran generasi muda yang terlalu megikutkan ‘darah muda’mereka.

Jaguh-jaguh di trek haram itu,terus berlumba motosikal tanpa menghiraukan bahaya kepada diri sendiri yang bakal ditempa apatah lagi kepada orang di sekeliling mereka.
Dalam ketika ghairah dengan visi dan misi masing-masing,tiba-tiba terdengar bunyi kuat objek tersadai jatuh ke dalam lembah batu-batan denai hutan itu.Kelihatan cecair pekat merah bertaburan di kawasan itu,kawan-kawan seperjuangan yang tadi akrab,bagaikan musuh berhamburan masing-masing memecut laju menghilangkan diri.Tinggallah sekujur tubuh bersendirian di situ.

Kedengaran pintu diketuk orang dari luar rumah.Pintu papan itu dikuak daun pintunya,sedikit cahaya siang pagi itu menusuk ke dalam rumah.”Mak Leha,anak awak…”,tidak sempat Pak Abbas menghabiskan kata,”kenapa dengan anak saya?” Mak Leha mencelah.Pak Abbas menjawab”Tadi seawal pagi,orang kampung menjumpai mayat Man di hujung kampung sana”.Mak Leha kaget mulut terkunci bisu,mutiara putih bercucuran ke tanah.

Dengan kerjasama penduduk kampung mayat anaknya itu dibawa pulang dan diurus rapi jenazahnya.Jenazah kemudiannya disembahyangkan di bangunan yang hanya pernah menjadi persinggahan kepada arwah sewaktu hidupnya.Rupanya tempat persinggahan itu destinasi juga buat insan yang bernama Rosman.

Sesungguhnya manusia janganlah sesekali kita angkuh kepada Dia.Hakikatnya ke pangkuan Dia jugalah kita akan kembali. Wahai hamba-hamba Allah,ingatlah lima perkara, sebelum lima perkara iaitu sihat sebelum sakit,muda sebelum tua, kaya sebelum miskin,lapang sebelum sempit,dan hidup sebelum mati.Sesungguhnya dunia dikelek,akhirat dijunjung.Ingatan tulus ikhlas buat diriku dan sahabat-sahabat yang dikasihi.
Oleh:Fareeza 02:23 ,23 Disember 2010

Tuesday, 14 December 2010

Kafarah dosa itu asbab pengembalianku, kepadaMu



Sudah berbulan-bulan gadis itu memenjara diri berteman pena dan helaian kertas yang bergunung-ganang."Exam sem depan mesti aku dapat skor habis punya",bisik hati kecil Raudhah.Begitulah tekad gadis itu,yang telah dua tahun berturut-turut mengepalai ranking pelajar cemerlang di salah sebuah institusi pengajian terkemuka di United Kingdom.Tidak lama lagi 'bermain jarum dan darah'lah bila pulang ke tanahair nanti.Moga dapat berbakti kepada masyarakat.Itulah yang diharap bukan sebaliknya.
Jarum jam terus berputar ligat dari angka '12' sehingga angka '12',kertas kalendar semakin dikoyak semakin berbulan berlalu...Raudhah masih tetap degan azam yang membakar,tidak pernah padam dek air,bahkan makin marak dek angin yang bertiup.Kagum dengan semangat dan kegigihannya.Tetapi...sejak kebelakangan ini tidak pula kelihatan gadis itu dalam halaqah-halaqah ilmu,jarang pula kedengaran suara merdu bertarranum dari kamar itu,dan tidak terang lagi kamarnya pada sepertiga malam.
Astagha,Raudhah alangkah baiknya kegigihanmu menghadap helaian tulisan rumi itu,seiring dengan zikrullah yang sepatutnya kau amati jua.
Hari-hari semakin berlalu tiba saatnya esok hari yang dinanti.Pasal ilmu memang tidak dapat dikhuatiri lagi,memang dah melekat rapat di otak,keyakinan makin membuak-buak.Title'The Best Student'tidak perlu dibimbangkan lagi,pasti dalam genggaman.Malam itu seperti malam-malam yang sebelumnya,Raudhah tidak berlengah-lengah merebahkan kepala di bantal empuknya,dengan alasan untuk mendapatkan stamina yang secukupnya untuk berhempas pulas bermain 'mata bola' di medan pertempuran yang dinanti-nanti.Segala yang fardhu telah ditinggalkan apatah lagi sunat.Kewajipan sebagai seorang muslim telah jauh ditinggalkan.Tidak sedarkah gadis itu yang bakal dihadapi esoknya juga dalam kekuasaanNya.
Jam menunjukkan pukul dua lima belas pagi.Objek di sebelah kepalanya semakin ligat bergerak-gerak.Kadang-kadang bergetar juga.Raudhah terjaga dari lena yang separuh mati itu."hello..what the hell you...."maki hamun Raudhah berpanjangan sambil memegang objek yang bergerak tadi kerana menganggu lenanya yang membuai-buai entah ke mana."Assalamualaikum,nak ayah ni..Raudhah mak kamu ni..."Baru terkebil-kebil Raudhah penangan suara sayu tadi.Air mata berlinangan tanpa semena-mena.
Dengan tergesa-gesa gadis itu mencapai karung begnya dan kaca mata bulat yang menjadi sahabatnya.Daun pintu dikuak...
Penerbangan ke tanahair pada pukul sepuluh nanti,seawal pagi ini Raudhah mencuba nenelefon ayahnya semula."Nak,nak bawa bersabar... emak kau telah tiada lagi".Inilah berita yang diterima setelah dua tahun suara tadi tidak kedengaran di corong telefon.Hati Raudhah hancur,bercampur-baur perasaannya.Tentang title pelajar cemerlang yang diimpi-impikan entah ke mana.Gadis itu tidak menyedari dirinya benar-benar berdiri seinci sahaja dari tebing puncak bangunan itu .Hanya selangkah mara ke hadapan,jalan ke destinasi yang tidak diduga bakal ditempa,nauzubillah.
"Raudhah..."kedengaran sayup-sayup suara tiga orang gadis dari kejauhan menuju dari arah belakangnya.Lantas memaut pinggang Raudhah,alhamdulillah yang tidak diduga dapat dihindari.Itulah sahabat-sahabatnya yang dulu dijauhinya.Tangisan dan nasihat yang berselang-seli antara lapan biji mata itu semakin menenangkan suasana.Raudhah semakin tenang dan menyedari kesilapannya, yang melupakan Dia yang teratas dengan mengutamakan urusan dunia semata."Semua ini asbab kepada pengembalianku kepadaMu,syukur Tuhanku..."Raudhah menghela nafas panjang sambil menyapu kedua belah tapak tangannya ke muka yang redup di bawah sinar cahaya pagi itu.
Oleh:fareezaaz 6.04pm,15 Disember 2010

Allah SWT berfirman:

“Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; - Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” Surah Asy-Syams ayat 8-10.

Maka, tidakkah kita rasa gusar dan gelisah dengan dosa-dosa kita?

Sudah berapa lama kita hidup? Mari pandang ke belakang, mari lihat ke arah semalam. Berapa banyak dosa kita sudah terkumpul dan tidak pula kita teringat untuk bersimpuh di hadapan Allah SWT meminta keampunan?
Pesanan buat diriku dan sahabat-sahabat yang dikasihi moga apa yang kunukilkan ini dapatlah kiranya buat diriku dan sabat-sahabat bermuhasabah diri kembali,mudah-mudahan dengan izin Allah kita dalam redha dan inayahNya sentiasa.Amin ya rabbal alamin.

Thursday, 28 October 2010

Menopang dagu dalam girang...



Yang Teratas,
Kekadang aku gusar,
Bayang ‘malam’ melenakan hatiku,
Aku masih tercari-cari,
Di mana aku padaMu.

Yang teratas,
Ada apa pada nama?
Andai jiwa kosong dalam sedar,
Aku mengangguk kepala sedang mata terjaga,
Aku membisu bicara sedang kaki ligat berjalan,
Aku,dia dan dia…
Masih memakai tongkat dalam kemilauan cahaya,
Kenapa?

Yang Teratas,
Aku cuba menelek ‘dalil suciMu’,
Aku menyapa muallim yang hampir padaMu,
Bukan mengerling semata,aku kini menapak di rumahMu,
Hati kecilku mula sendawa kecil,
Kenyang dengan jawapan yang datang bertubi-tubi,
Tapi tekak terasa perit,
Rasakan dahaga lagi,
Hari demi hari,
Aku meng’ela’kan jauh yang dulu berbatu,
Aku menitip namamu dalam setiap nafasku,
Kini keperitanku telah berhambur pergi,
Sujud syukur mengabdi diriku padaMu.

P/S:mai la ramai-ramai pergi Winter Gathering 2010 anjuran IPIJ 25~28 Disember ni
MUHASABAH DIRI JOM…

Tuesday, 19 October 2010

Kematangan membaja metabolisme iman...


Apa ukuran kedewasaanmu ya sahabat?lantas dapatkah kematangan seseorang dinilai semata-mata berdasarkan usianya semata?Ada orang kata sipulan-sipulan itu umurnya dah mencecah abad pasti banyak yang dapat diambil daripadanya.Bak kata pepatah Melayu,’lebih banyak makan garam’.

“Kamu ni anak, umur baru setahun jagung dah cuba nak mengajar…”,itulah kata-kata yang mendominasi kehidupan kita sehari-hari.Bagi saya,saya akui kesahihan fakta tersebut. Tetapi bagi pandangan saya,kematangan seseorang akan bertambah seiring dengan bagaimana latarbelakang pengalaman hidupnya.Ini terpulanglah kepada pandangan setiap individu.Lagi berat ujian yang diberi Allah,lagi mendatangkan kedewasaan pada fikiran individu tersebut.Tak kiralah jika individu tersebut masih usia anak-anak lagi,tetapi jika dia dah jauh menyelami jerit-perih kehidupan,maka dia dikira telah matang dari usianya.Berbanding pada yang telah berumur,jika kehidupannya hanya dalam keadaan mendatar,kurang pahit manis kehidupan,maka bolehkah diklasifikasikan dalam golongan yang dah matang?wallahualam.

Diberi contoh Ali dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan,ibu bapanya telah bercerai sejak Ali dan adik-adiknya kecil lagi..Jadi dengan kekangan keadaan ini,Ali berusaha keras membantu menaikkan taraf kehidupan keluarga dan dirinya.Dari segi tenaga,dia membanting tulang bekerja,dalam masa yang sama sesungguh yang mungkin menuntut ilmu untuk masa hadapan.Tidak dilupakan jua,dengan dugaan yang menimpa,Ali menjadi seorang hamba yang sentiasa sedar,berusaha dan sentiasa bergantung diri kepada Allah SWT.Maka sekaligus dapat meningkatkan kematangan diri melalui ujian yang pelbagai.’Sesungguhnya Allah tidak memberikan ujian kepada hambaNya melainkan ujian bersesuaian dengan hambaNya untuk memikul ujian itu’,wallahualam.

Berlainan pula dengan kehidupan Abu,yang dilahirkan dalam keluarga yang serba mewah,dan dianggap melengkapi segala keperluan hidupnya.Kadangkala,kehidupan yang sebegini boleh juga mendatangkan kelalaian daripada mengingati Allah.Mudah-mudahan tidak ada saudara-saudara kita yang lalai dengan nikmat dunia yang Allah kurniakan dan mesti diingat kenikmatan di dunia adalah juga ujian yang besar bagi kita.Sedarlah saudara-saudara bahawa betapa beruntungnya hamba-hamba yang mengingati Allah dalam waktu dia gembira berbanding dalam keadaan duka.Sedemikian dua contoh ini,menunjukkan contoh ujian dan pengalaman yang dapat mematangkan kita samada kematangan iman,fikiran dan jiwa seseorang.
Wallahua’lam.

Moga kehidupan kita sentiasa dipandu Allah dalam nikmat dan inayahNya.Moga apa yang diaturnya mendatangkan dalam diri setiap antara kita agar sentiasa redha dan tenang.Kerna apa jua yang dikurniakanNya adalah penuh dengan hikmah dan rahmat,yang di luar jangkaan kita,tetapi dalam penguasaannya subhanallah teramatlah luas.

Alhamdulillah moga perkongsian ini untuk kita bersama,sahabat-sahabat jam dah 2 29 pagi,saya minta diri untuk 'hibernasi' untuk bermujahadah dalam kelas esok=)
sekian,wassalam wbt.