BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday 26 May 2009

Hukum Memiliki Anak Patung dan 'Teddy Bear'




Para ulama berbeza pandangan mengenai perkara ini. Ini
kerana, merujuk sejarah, pada zaman Nabi Sulaiman a.s.
dibenarkan kegiatan membuat dan memiliki patung, tetapi
pada zaman nabi-nabi lain aitu sebelum dan selepas
beliau, patung adalah diharamkan termasuk pada zaman
Nabi Nuh a.s. dan pada zaman Nabi Ibrahim a.s. Manakala
pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. pula diharamkan patung
untuk disembah dan dipuja, tetapi diharuskan patung
mainan untuk anak-anak.

Para ulama terkenal masakini yang berbeza pandangan
mengenai patung ialah Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh
Gadul Haq Ali Gadul Haq, Syeikh Atia Saqr dan Dr.
Mohammad Amarah.


Mengenai hukum orang Islam memiliki patung, al-Qaradawi
di dalam "Fatawa Muasirah" berkata Islam
mengharamkannya, sama ada patung manusia mahupun patung
binatang. Pengharaman itu menjadi lebih kuat jika patung
itu merupakan makhluk yang disanjung tinggi seperti
raja, nabi sepertimana Nabi Isa a.s. di kalangan orang
Kristian dan lembu di kalangan orang Hindu. Menurut
beliau, ada satu jenis patung saja yang diharuskan oleh
Islam untuk dimiliki, iaitu patung mainan anak-anak. Ini
berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang
menceritakan bahawa isteri
baginda yang masih kecil, Aisyah cenderung dan suka
bermain patung.

Syeikh Gadul Haq, Bekas Syeikh al-Azhar, mempunyai
pendapat yang sama dengan al-Qaradawi. Beliau
membenarkan patung untuk pendidikan seperti patung
mainan anak-anak dan
berpendapat harus hukumnya bagi patung separuh tubuh dan
mudah rosak yang diperbuatkan daripada tepung (atau
bahan-bahan lembut spt plastesin dll).

Syeikh Atia Saqr dalam fatwanya, membolehkan patung
mainan anak-anak, patung cepat rosak dan patung separuh
badan. Selain itu patung yang tiada salah satu anggota
badan yang penting seperti kepala juga boleh dimiliki
orang Islam,
tetapi hukumnya adalah makruh. (Kepala merupakan anggota
penting bagi tubuh. Manakala kaki tidak penting, kerana
manusia masih mampu hidup tanpanya).

Menurut Syeikh Saqr, Imam Malik menganggap harus
hukumnya memiliki patung yang lengkap seperti seorang
manusia, tetapi dengan syarat ia berlubang walaupun
sangat kecil. (untuk mencacatkannya). Manakala Imam Abu
Hanifah dan Imam Ahmad mengenakan syarat patung lengkap
itu mesti mempunyai lubang yang besar. Ini termasuk juga
patung mannequin yang digunakan untuk mempamerkan
pakaian di butik-butik dan gedung-gedung pakaian.

Dr. Amarah dalam fatwanya berkata, hukum syarak tentang
hak pemilikan patung adalah merujuk kepada al-Quran.
Pertama, patung dianggap termasuk daripada nikmat Allah
yang dikurniakan kepada Nabi Sulaiman. Patung pada zaman
Nabi Sulaiman tidak disembah dan tidak dianggap
berbahaya terhadap akidah tauhid.

Allah berfirman: Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman
angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut
kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya;
dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia
kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan
patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar
seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di
atas tungkunya. (Setelah itu Kami perintahkan):
"Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!'
Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu
yang bersyukur. (Saba'34: 12-13)

Kedua, patung yang dianggap berhala yang disembah pada
zaman Nabi Ibrahim a.s. dan zaman nabi-nabi lain. Pada
zaman-zaman ini patung dimusnahkan seperti yang
dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan pada zaman Nabi Muhammad
s.a.w. Oleh itu kata Dr. Amarah, hukum mengenai patung
adalah dilihat pada matlamat penggunaannya. Apakah ia
merupakan hiasan yang termasuk daripada nikmat Allah
ataupun ia merupakan sembahan seperti berhala?

Menurut Dr. Amarah, seorang ulama dari Mazhab Maliki,
Imam Ahmad Idris al-Qarafi, merupakan seorang yang
pandai mengukir patung untuk kegunaan raja. Beliau
mencipta patung yang menggunakan teknik pembakaran lilin
bertujuan untuk mengejutkan raja ketika azan subuh.

Secara dasarnya, ulama bersepakat bahawa patung dianggap
harus jika ada faedah seperti untuk mainan anak-anak dan
dan dianggap haram jika digunakan untuk penyembahan.