BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday 31 December 2010

...Barakah Dikongsi Bersama...


Assalamualaikum sahabat-sahabat,moga sentiasa dipelihara Allah dalam nikmat iman dan taqwa,insyaAllah=)Jutaan kesyukuran dipanjatkan kepada Allah atas keizinan dan rahmatNya majlis ilmu kita, Winter Gathering 2010 yang telah diadakan pada baru-baru ini berjalan lancar dan dipermudahkan segala urusan.Walaupun ada dugaan sepanjang perjalanan ke tempat program,dengan salji yang banyak menyebabkan perjalanan densya(keretapi)tergendala tetapi akhirnya sahabat-sahabat selamat juga sampai ke destinasi untuk menuntut ilmu dan mengikat ukhuwah dengan sahabat-sahabat yang lain.Justeru dengan itu saya suka untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat tentang apa itu ujian yang diperihalkan oleh Allah.
Sesungguhnya,ujian daripada Allah S.W.T ini meliputi seluruh hamba-Nya yang taat mahupun yang derhaka. Malah ujian bagi hamba-hamba-Nya taat adalah lebih hebat berbanding dengan mereka yang engkar. Rasulullah s.a.w pernah di tanya:

Ya Rasulullah, siapakah yang paling keras mendapatkan ujian? Baginda menjawab: Para Nabi dan pengikut-pengikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agama, jika kadar beragamanya kuat maka ujiannya semakin keras. Jika kadar beragamanya lemah maka dia diuji sesuai dengan kadar agamanya. Seorang hamba akan sentiasa diuji sampai dia akan dibiarkan berjalan di muka bumi tanpa membawa dosa kesalahan. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (no: 2322)
Justeru itu segala ujian daripada Allah S.W.T ini haruslah kita tempuhi dengan penuh kesabaran agar ianya dapat mendekatkan kita kepada-Nya dan menerima segala limpah rahmat-Nya. Firman Allah S.W.T.:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: (Innalillahi wa inna ilahirajiun) “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. – al-Baqarah (2) : 157

Semoga apa yang kita telah pelajari melalui kuliah yang diberikan oleh Ustaz Zaharudin Muhammad dan LDK-LDK yang telah dijalankan bersama menjadi asbab kepada kita untuk bermuhasabah diri dan mempertingkatkan amal ibadat kepada Allah.Kongsilah ilmu yang diperoleh dengan sahabat-sahabat yang tidak dapat hadir,mudah-mudahan barakah kebaikan dapat dikongsi bersama,insyaAllah.Semoga Allah memberkati hasil usaha kita untuk menegakkan Islam yang disanjungi untuk para sahabat yang dikasihi.-Dunia dikelek akhirat dijunjung.