BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday 22 December 2010

Persinggahan Itu Rupanya Destinasiku


Lengang malam itu berselang-seli dengan pekikan dua makhluk itu sayup-sayup kedengaran.”Man meh dapur jap,tolong mak ni”,suara lantang wanita 50-an itu.”Kerja pegang periuk belanga ni bukan kerja orang laki mak…tak kuasalah orang nak tolong mak,tak boleh tengok orang senang sikit,ade-ade aje”,sehinggakan tersembul jelas urat-urat di leher anak muda itu menempelak ibunya.Namun hati seorang ibu tetap memaafkan anaknya walau ada rasa ketidakredhaan terhadap anak tunggalnya itu.Begitulah rutin sehari-harinya.

Setelah ‘diumpan’dengan berkali-kali,akhirnya anak ikan termakan mata kail.”Haa ni baru betul,ada habuan baru kerja jalan”,lantas merabut sekeping wang kertas merah itu dari tangan Mak Leha.

Kedengaran bunyi ekzos motosikal itu berdentum kencang seraya menghilang.Mak Leha menghela nafas lega.Moga selamat anak kesayangannya itu sampai ke bangunan besar di hujung kampung itu.

Desiran bayu malam meliuk-liukkan daun nyiur yang berbaris di tepian jalan.”Hai adik manis jalan seorang malam- malam ni tak takut ke…?”sapaan nakal Man kepada anak gadis yang baru pulang dari kerja lewat malam itu.

Hayya alassolah…”,bergema suara serak-serak basah tok bilal melalui corong pembesar suara dari tempat yang disinggahinya itu.”Wak Kassim,ni haa kuih dari mak saya untuk semua orang di masjid ni macam biasa,ambillah cepat ,saya dah nak balik ni…” teriak anak muda itu. Wak Kassim sambil menghulurkan tangan menitipkan bicara,”Kau ni Man alang-alang dah masuk Isyak ni,marilah kita solat jemaah sekali kan bagus”.”Saya datang sini nak singgah untuk bagi kuih ni je kepada orang masjid ni,tak lebih dari itu ye Wak!”Man bersuara keras seraya menghidupkan enjin motosikalnya,lantas berlalu pergi.Wak Kassim menggeleng-gelengkan kepala sambil berdoa agar Allah membuka hati anak muda itu pada suatu ketika nanti.Saban hari Wak Kassim tidak pernah berputus asa dengan doa dan monolog dalamannya yang suci itu.

Bunyi kuat kedengaran dari beberapa batang jalan di kampung itu memecah sepi malam,adakalanya menganggu kekhusyukan para jemaah di masjid.Itulah kerja Man dan ‘kawan-kawan seperjuangannya’ merempit motosikal secara ‘berjemaah’ pada malam hari.Sudah puas anak-anak muda itu dinasihati oleh orang-orang kampung,namun langsung tidak ada perubahan.Rumah suci Allah itu kelihatan lengang lantaran generasi muda yang terlalu megikutkan ‘darah muda’mereka.

Jaguh-jaguh di trek haram itu,terus berlumba motosikal tanpa menghiraukan bahaya kepada diri sendiri yang bakal ditempa apatah lagi kepada orang di sekeliling mereka.
Dalam ketika ghairah dengan visi dan misi masing-masing,tiba-tiba terdengar bunyi kuat objek tersadai jatuh ke dalam lembah batu-batan denai hutan itu.Kelihatan cecair pekat merah bertaburan di kawasan itu,kawan-kawan seperjuangan yang tadi akrab,bagaikan musuh berhamburan masing-masing memecut laju menghilangkan diri.Tinggallah sekujur tubuh bersendirian di situ.

Kedengaran pintu diketuk orang dari luar rumah.Pintu papan itu dikuak daun pintunya,sedikit cahaya siang pagi itu menusuk ke dalam rumah.”Mak Leha,anak awak…”,tidak sempat Pak Abbas menghabiskan kata,”kenapa dengan anak saya?” Mak Leha mencelah.Pak Abbas menjawab”Tadi seawal pagi,orang kampung menjumpai mayat Man di hujung kampung sana”.Mak Leha kaget mulut terkunci bisu,mutiara putih bercucuran ke tanah.

Dengan kerjasama penduduk kampung mayat anaknya itu dibawa pulang dan diurus rapi jenazahnya.Jenazah kemudiannya disembahyangkan di bangunan yang hanya pernah menjadi persinggahan kepada arwah sewaktu hidupnya.Rupanya tempat persinggahan itu destinasi juga buat insan yang bernama Rosman.

Sesungguhnya manusia janganlah sesekali kita angkuh kepada Dia.Hakikatnya ke pangkuan Dia jugalah kita akan kembali. Wahai hamba-hamba Allah,ingatlah lima perkara, sebelum lima perkara iaitu sihat sebelum sakit,muda sebelum tua, kaya sebelum miskin,lapang sebelum sempit,dan hidup sebelum mati.Sesungguhnya dunia dikelek,akhirat dijunjung.Ingatan tulus ikhlas buat diriku dan sahabat-sahabat yang dikasihi.
Oleh:Fareeza 02:23 ,23 Disember 2010