BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday 1 September 2009

Permata Yang Hilang




Permata adalah sesuatu bentuk perhiasan yang amat
bernilai. Ia adalah hasil tekanan yang tinggi dikenakan
pada karbon. Tekanan yang tinggi itu akhirnya
menghasilkan permata yang berkilau dan cantik.

Siapa yang tidak mahu memiliki permata? Seorang wanita
pasti mengidamkan dirinya dihiasi oleh permata yang
berkilauan. Seorang lelaki pasti bercita-cita
menghadiahkan sebentuk permata kepada seseorang yang
dikasihinya.

Permata adalah salah satu daripada nikmat kekayaan yang
telah diberikan Allah kepada manusia. Nikmat yang mana
ia mampu mengeratkan kasih sayang sesama manusia malahan
ia juga mampu menjadi bala yang menyebabkan pergaduhan
sesama manusia.

Dalam diri manusia juga terdapat satu benda yang
nilaiannya seperti permata. Iaitu hati. Kerana seorang
yang hatinya tenang, cekal dan kuat merupakan individu
yang telah diuji melalui pelbagai ujian yang menekan
sehingga hatinya berkilau umpama permata yang
bergemerlapan.

Hati yang tenang ini adalah umpama permata yang berkilau
dalam diri manusia. Ia bukan sahaja membahagiakan si
pemiliknya, malahan orang lain juga akan kagum
kepadannya.

Saidina Abu Bakr AsSiddiq adalah insan yang memiliki
ketenangan yang tiada tolok bandingnya. Ketenangan dan
ketulusan hatinya telah terbukti sepanjang hidupnya
dengan Baginda junjungan saw. Beliau masih mampu
bertenang di saat wafatnya Baginda saw malah berupaya
untuk menenangkan orang lain agar menerima hakikat
sesungguhnya Baginda saw telah pergi menemui Allah swt.

Hari ini ramai manusia telah kehilangan permata didalam
dirinya. Manusia akhir zaman ini sudah kehilangan apa
yang dinamakan ketenangan hati. Ketenangan hati ini
adalah antara nikmat Allah swt yang diberikan kepada
hambaNya yang soleh.

Seorang yang sakit perut, nikmatnya adalah selepas
proses penyahtinjaan.

Seorang yang sakit gigi, nikmatnya adalah selepas gigi
yang rosak itu dicabut atau ditampal.

Seorang yang sakit jiwanya, nikmatnya adalah selepas
dicampakkan ketenangan didalam hatinya semula.

Ramai manusia bergelar bilionaire. Bergelar jutawan.
Bergelar pemimpin agung. Bergelar intelektual. Bergelar
cendekiawan. Bergelar negarawan dan pelbagai lagi
gelaran-gelaran duniawi. Tetapi berapa ramai yang
mempunyai gelaran-gelaran ini mempunyai ketenangan hati?
Leslie Cheung, seorang artis yang sudah terkenal, mati
bunuh diri. Bob Marley, juga mengakhiri hidup yang penuh
populariti dengan kematian yang tragis. Mariah Carey,
dilaporkan sudah beberapa kali mengunjungi klinik
psikiatri. Maradona, hancur karier bolasepaknya kerana
dadah. Hitler, juga mengakhiri hidupnya dengan membunuh
diri. Ini adalah sebahagian contoh kehidupan yang ramai
diantara manusia kejar dan impikan. Populariti, kekayaan
dan kuasa.

Cat Stevens atau Yusuf Islam, sebelum menerima hidayah
dari Allah yang mana beliau menemui ketenangan, juga
hidup dalam keadaan yang tertekan dengan ketagihan
alkohol. Namun, dengan jiwa barunya, dihiasi dengan
ketenangan iman, beliau telah memulakan hidup baru
sebagai seorang pendakwah.

Mari kita fikirkan kembali adakah kita ini sudah
memiliki permata itu? Sudahkah kita menjadi insan yang
masih mampu tersenyum tatkala 1001 kesusahan melanda
kehidupan diri kita?

Atau adakah kita ini masih tergolong didalam golongan
yang dikurniakan populariti, kedudukan dan harta, tetapi
masih berterusan hidup dalam tekanan?

Kita barangkali pernah melihat seseorang yang berkuasa
dan kaya raya, mempunyai mahligai yang besar, tetapi
sering menghabiskan masa malam mereka di kelab-kelab
malam, memabukkan diri demi untuk mencari satu benda
yang dinamakan ketenangan diri.

Kita juga barangkali pernah mendengar kisah seorang
bijaksana, tetapi berdampingan dengan dadah juga demi
untuk mencari ketenangan yang hilang kerana tekanan
pembelajaran.

Dan yang paling selalu didengar adalah dialog-dialog,
"Aku hisap rokok ni bukan ape, tension! Bila aku hisap
sebatang dua, hilang sekejap tension aku."

"Aku dengar muzik-muzik ni semua sebab nak release
tension. Aku rasa terhibur so, aku boleh lupakan masalah
aku."

Allah berfirman,
"Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
yang dikatakan zikruLlah (mengingati Allah) itu? Tuan
Guru Nik Ab Aziz mengatakan zikir terbaik itu adalah
al-Quran. Maka berdampinglah dengan al-Quran kerana ia
sudah pasti akan memberikan ketenangan jiwa.

Al-Quran yang dibaca, akan membawa ketenangan kepada
pembacanya. Tetapi al-Quran yang diamalkan isinya, ia
akan membawa ketenangan ke seluruh alam. Tetapi umat
Islam sendiri hari ini tidak mengamalkan isi al-Quran
menyebabkan umat Islam seluruhnya telah kehilangan
ketenangan dalam hidup seharian.

Malah, ada banyak lagi cara untuk menenangkan hati.
Prinsip asasnya mudah. Setiap sesuatu itu mesti menjurus
ke arah mengingati Allah.

Umpamanya melihat tumbuhan menghijau, aliran sungai,
langit yang biru, burung-burung berterbangan dan
sebagainya yang mana itu semua menunjukkan kehebatan
Allah swt.
Kaedah ini juga diguna pakai oleh ahli psikologi bagi
memudahkan seseorang tidur. Dengan memberikan panduan
agar mereka yang menderita imsonia itu melelapkan mata
sambil membayangkan taman yang indah, ada rama-rama yang
berterbangan, bunga-bunga yang menyegarkan kerana
perkara-perkara yang menunjukkan kebesaran Allah itu
semuanya menjurus kepada ketenangan hati.


Allah berfirman, "Wahai jiwa-jiwa yang tenang,
kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas
hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi
diredhai (disisi Tuhanmu), serta masuklah engkau ke
dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia dan
masuklah ke dalam syurgaKu. (al-Fajr, 27-30)

Manusia yang mempunyai jiwa yang tenang maka syurga
adalah tempat mereka. Dan pra-syarat mereka yang ingin
mempunyai jiwa yang tenang ini adalah iman serta amal
soleh mereka.

Ketenangan hati inilah yang sudah tiada dalam kebanyakan
manusia. Kita sering menyangka kekayaan, kuasa dan
populariti itu lah yang bakal membahagiakan hidup kita
didunia. Tetapi, jangankan akhirat, sejak didunia lagi,
kekayaan, kuasa, dan populariti itulah yang telah
menghilangkan rasa bahagia kita sekiranya ia tidak
didasari dengan dasar iman dan taqwa.

Maka ingatlah, seseorang yang telah dikurniakan hati
yang tenang pasti menerima segala takdir baik dan buruk
yang ditimpakan keatasnya, kerana mereka yakin dan
percaya akan firman Allah, "Oleh itu, maka sesungguhnya
tiap-tiap kesusahan itu ada kemudahan dan sesungguhnya
setiap kemudahan itu ada kesusahan"