BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday 28 October 2009

ummi+abi=pohon mangga=?


Insan istimewa malah paling istimewa bagi setiap manusia, sanggup berkorban segala-galanya demi kebaikan dan keselamatan anak-anaknya.

بروا اباءكم يُبِرُّكُمْ أَبْنَاؤُكُمْ وعفوا تعف نساءكم

Berbuat baiklah dan belas kasihan kamu kepada ibu bapa kamu, nescaya kamu akan dibuat baik dan dikasih sayang oleh anak-anak kamu.

Al-kisah dari seorang teman,

Di sebuah kampung terdapat satu keluarga petani yang
amat miskin. Keluarga ini mempunyai seorang anak lelaki
yang masih kecil. Oleh kerana keluarga mereka yang
miskin, maka tidak ada budak kampung yang lain yang
ingin bermain dengannya.


Untuk mengubati kesunyian dirinya maka ia sering bermain
dibawah sepohon pokok mangga kepunyaan bapanya. Pohon
mangga ini sungguh besar dan berbuah lebat. Budak kecil
itu sering memanjat dahan-dahan pohon mangga ini,
apabila lapar ia akan mengutip buah mangga yang telah
masak yang jatuh kebawah pohon tersebut. Apabila ia
kenyang ia akan tidur di perdu pohon mangga tersebut.
Sehingga akhirnya budak lelaki itu begitu menyukai pohon
mangga dan pohon mangga juga menyayangi budak lelaki
tersebut.


Hari demi hari berlalu, tahun berganti tahun, panas
disangkakan sampai ke petang rupanya hujan ditengah
hari, budak lelaki tersebut tidak lagi mahu bermain
dibawah pohon mangga kerana budak ini sudah menjadi
seorang remaja lelaki yang mula memahami erti cinta.
Pohon mangga begitu sedih ia sering mengharapkan
kedatangan remaja lelaki tersebut namun hampa.
Sehinggalah satu hari dia ternampak remaja lelaki
terbabit datang kepadanya dengan muka monyok.

Pohon mangga merasa sungguh gembira tetapi ia hairan
kelakuan remaja lelaki ini bukan seperti kebiasaanya.
Selalunya ia akan bermain dengan pohon mangga dan
memakan buah mangga yang masak tetapi hari ini ia datang
memetik kesemua buah mangga tidak ada yang terkecuali.
Semuanya, masak atau tidak. Kemudian ia terdengar remaja
itu berkata " Dengan buah mangga ini aku akan menjualnya
dipasar dan wangnya akan aku belikan hadiah harijadi
untuk teman wanitaku". Selepas berkata begitu, remaja
itu terus berlalu pergi meninggalkan pohon mangga itu
sendirian.

Pohon mangga amat sedih tetapi ia tetap menyakinkan
dirinya bahawa remaja lelaki itu akan datang jua suatu
hari nanti untuk bermain dengannya. Masa berlalu pergi,
kini remaja itu sudah dewasa, ia pergi kepada pohon
mangga tersebut dan berdiri memandang pohon mangga.
Pohon mangga begitu gembira tetapi ia terkejut apabila
ia ternampak lelaki tersebut membawa bersama gergaji.
Dengan sedih dan hampa pohon mangga merelakan lelaki
tersebut memotong dahan-dahannya. Besar dan kecil,
semuanya diambil. Ia tertanya-tanya kenapa?? Namun
semuanya terjawab apabila ia terdengar lelaki itu
berkata, dengan dahan-dahan ini akan aku keringkan
kemudian akan ku jual dan hasilnya akan ku belikan
persalinan sebagai hantaran kepada bakal isteriku.

Barulah pohon mangga mengerti bahawa lelaki tersebut
yang juga budak lelaki yang disayanginya dahulu sudah
berkahwin. Ia tumpang gembira biarpun dahannya sudah
tiada.

Masa berlalu dirasakn begitu pantas, suatu hari lelaki
tersebut datang lagi dibawah pohon mangga. Pohon mangga
begitu gembira, ia nampak sudah ada garis-garis kedut
dimuka lelaki tersebut, dan terdengarlah ia kata-kata
lelaki tersebut, "Akan ku tebang pohon mangga ini dan
batangnya akan kujual kepada untuk dijadikan sampan dan
hasilnya akan ku belikan perhiasan yang diminta oleh
isteriku". Selepas berkata begitu lelaki tersebut
menebang pohon mangga.

Kini pohon mangga hanyalah tinggal tunggul sahaja dan
yang hanya ada pada dirinya adalah akar yang hampir
mereput menandakan harinya tidak lama lagi. Ia begitu
sedih sekali. Sudah lama lelaki tersebut tidak datang
kepadanya dan ia tahu lelaki itu tidak akan datang lagi
namun suatu hari tatkala ia merasa begitu keletihan
tiba-tiba ia terasa ada seorang tua yang berbaring di
perdu tunggulnya, dan apabila diamati tahulah ia orang
tua itu adalah budak lelaki yang sering bermain
denganya.

Tiba-tiba ia terdengar lelaki tua itu berkata "Aku sudah
letih dalam mengejar kebahagiaan dunia, aku sudah penat
dalam melayan kerenah isteriku, dan kini aku ingin
berehat dibawah pohon mangga ini untuk selama-lamanya.
Maafkan aku wahai pohon mangga."

Selepas itu ia pun menghembuskan nafas terakhir dan
tunggul itu menjadi "nisan" kepada lelaki itu. Akhirnya
tunggul jua mati dan ia tetap tersenyum memberi khidmat
kepada lelaki itu.

Moral: Budak lelaki tersebut adalah kita sendiri dan
pohon mangga diibaratkan seperti ibubapa kita. Mereka
sering berkorban untuk kita. Begitulah cinta ibubapa
terhadap anaknya, mereka sanggup berkorban apa jua demi
anaknya.